10 Jari Saya

Ini lagi satu panjang. Tapi kawan-kawan boleh fast forward kepada perenggan terakhir.

Kawan-kawan,

Ayah saya telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat, 23 November 2007, dijangkakan antara jam 9 pagi – 10 pagi.. mungkin kerana serangan sakit jantung. Kali terakhir ahli keluarga bercakap dengan dia adalah pada petang Khamis dengan Ibu saya. Katanya akan balik ke Seremban pada hari Jumaat dan bercuti pada hari Isnin. Kebiasaannya, Ayah saya akan ambil bas selepas solat Jumaat dan tiba lebih kurang jam 7 malam.

Ayah saya bekerja dengan Yayasan Warisan Johor, sebagai Timbalan Pengarah IKLAS, secara kontrak. Beliau tinggal di Johor, di mana beliau mempunyai bilik penginapan di Pejabatnya dan di situlah dia tinggal pada hari-hari bekerja. Rumah keluarga kami di Seremban, di mana Ibu menetap. Ibu bapa saya ni memang jadi weekend couple je lah, itu pun kalau Ayah tiada event atau kursus pada hujung minggu.

Ayah saya memang menghidap penyakit diabetis, gout dan tekanan darah tinggi. Beliau ada membuat pemeriksaan berkala di Hospital di JB. Tetapi, setahu kami sekeluarga, beliau tiada rekod mengenai penyakit berkaitan jantung. (Tapi sebenarnya semua penyakit berkait rapat dengan jantung, tempat darah diproses… betul, kan Am?) Tapi kebelakangan ada dia mengatakan sakit dada, tapi tidak pernah betul-betul mengadu kesakitan.

Ibu saya ada cuba menelefonnya beberapa kali pada hari Jumaat itu, tetapi tidak sekali pun dijawab. Menurut perkhabaran, kali terakhir seseorang bercakap dengan Ayah saya adalah pada pagi Jumaat tersebut, semasa sarapan. Beliau memaklumkan bahawa beliau tidak sihat dan tidak dapat menyertai Program Membudayakan Al-Quran pada pagi itu. Lalu dinasihati untuk berehat dan beliau kembali ke biliknya. Kejadian itu kira-kira jam 8.00 pagi.

Pada hari Jumaat tersebut, saya telah bertolak ke lapangan terbang pada jam 6.00 petang dari Seremban. Saya mengajak Ibu untuk turut menghantar saya ke lapangan terbang tetapi dia menolak kerana terpaksa menunggu kepulangan Ayah pada jam 7.00. Kalau Ayah sampai awal katanya, bolehlah hantar saya juga di lapangan terbang.

Ibu saya terus menerus menelefon Ayah saya tetapi tiada jawapan. Naluri seorang isteri terlalu kuat. Ibu dah berasakan sesuatu yang tidak kena apabila selepas waktu Maghrib Ayah masih tidak menelefon atau menjawab telefon. Ibu menelefon isteri rakan sekerja Ayah supaya dapat mencari Ayah.

Pada lebih kurang jam 9.00 malam, Ibu dimaklumkan, rakan sekerja Ayah telah menemuinya di bilik tidurnya. Katanya, mereka telah membuka pintu bilik Ayah dengan kunci pendua dan mendapati Ayah duduk di atas katil, bersandar di kepala katil, sambil bersila. Di sebelahnya adalah sejadah. Kepalanya tertunduk, tangannya di riba. Beliau kelihatan tenang, kata mereka. Ayah saya sudah dijemput Illahi.

Laporan polis telah dibuat dan Ayah saya dibawa ke hospital untuk disahkan kematiannya. Tiada post mortem dilakukan. Rakan-rakan beliau di JB telah memandikan, mengapan dan sembahyang untuk Ayah saya pada malam itu juga. Ibu dan adik saya telah pergi ke JB untuk menjemput jenazah Ayah saya. Setiba mereka, semuanya telah selesai. Mereka semua tiba kembali di Seremban pada jam 5.00 pagi. Ayah saya dikebumikan pada jam 8.30 pagi, Sabtu.

Keluarga saya telah menelefon saya pada lebih kurang jam 9.30 malam, hari Jumaat tetapi saya sudah berada dalam perut kapal terbang dan berlepas pada jam 9.15 malam. 10 jam kemudian baru saya memasang semula telefon bimbit saya dan mendapat pesanan. 1½ jam kemudian, saya terpaksa memadam semula telefon saya dan melalui 10 jam yang agak perit bagi saya kerana tidak dapat berbicara dengan sesiapa yang dikenali. Mengenangkan saya tidak dapat melihat Ayah saya untuk kali terakhir. Melayan perasaan sendiri. Hanya bersedekah Al-Fatihah dan surah Yassin buat arwah Ayah saya. Akhirnya saya tiba di Seremban pada jam 9.00 malam, hari Sabtu.

Kawan-kawan,

Saya memohon maaf jika tidak menyampaikan perkhabaran ini sendiri. Atau kawan-kawan merasakan terlalu lambat mendapat tahu mengenai berita ini. Tak perlulah rasa bersalah atau meminta maaf, kerana saya memang hanya memberitahu sendiri beberapa orang sahaja. Boleh dibilang dengan sebelah tangan. Itu pun, agak lewat kerana saya sendiri tidak dapat menerima hakikat pada awalnya. Saya sendiri telah bercuti selama seminggu kerana enggan bersemuka dengan orang yang mungkin bertanyakan keadaan diri saya dan keluarga. Saya bimbang saya tidak dapat mengawal perasaan.

Oleh itu, saya menyusun 10 jari saya memohon maaf kalau ada yang berasa saya mengenepikan kawan-kawan dan tidak memaklumkan lebih awal. Saya juga menyusun 10 jari saya mengucapkan terima kasih di atas ingatan dan ucapan takziah kepada saya dan keluarga. Saya juga menadah 10 jari saya mengaminkan semua doa kawan-kawan buat saya, keluarga dan arwah Ayah saya. Semoga roh Ayah saya dirahmati Allah, diampunkan segala dosanya dan apa yang dilakukan terima sebagai ibadah oleh Alah swt.

InsyaAllah.

Feedbacks are most welcome. If you're from Seremban, you MUST.

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s