Archive

Archive for September, 2011

Apa Kata Ismail Adnan…

September 12, 2011 5 comments

Sibuk nak pindah.. Sibuk nak siapkan paper.. Tapi nak tulis jugak. Ini je yang sempat.
Ikut luahan rasa, lagi banyak nak cakap. Tapi cukuplah ini dulu.
Walau ayah dah takde, tulisannya abadi. Al Fatihah Ismail bin Salimah.
Ini tulisannya empat tahun lalu.

Saya tujukan ini kepada YAB MB Johor.
Saya tujukan ini kepada  Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam.
Saya tujukan ini kepada Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang mempersoalkan latar belakang Ayah.
Saya tujukan ini kepada Pensyarah Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Mohd Akbal Abdullah.
Saya juga tujukan ini kepada MAT SABU yang tak paham tulisan Ayah. Yang entah-entah tak baca habis pun rencana tu.

Tuesday, July 17, 2007

KUASA BUKAN UNTUK MENGHUKUM

Beberapa hari lalu sebuah akhbar arus perdana melaporkan betapa seorang exco sebuah kerjaan negeri tergelak besar menerima surat daripada seorang yang sudah letih kononnya menjadi nabi untuk orang Melayu dan mencabar Yang Berhormat ini mencari penggantinya. Aku yang membaca berita itu pun turut tergelak sama.

Esoknya exco yang sama dilaporkan pula dengan kenyataan yang lain. Dia menuduh Ashari Mohamad, bekas pemimpin Al-Arqam menulis buku yang kandungannya untuk menghidupkan semula pertubuhan itu, dan mengagung-agungkan dirinya sendiri. Apabila ditanya pemberita sama ada dia sudah membaca buku tersebut, dia kata dia belum baca lagi, tetapi dengan bangga mengatakan dia yakin bahawa itulah kandungan buku tersebut. Kenyataannya membuatkan aku ketawa lebih besar lagi. Agaknya ketawa aku jauh lebih besar daripada ketawanya. Ashari sendiri pun agaknya turut tergelak besar jika dia membaca berita itu. Ketawa aku bukan kerana aku menyokong Ashari, jauh sekali dari pengikut Al-Arqam. Tetapi yang membuatkan aku ketawa ialah telatah pemimpin politik ini yang membukakan kejahilannya sendiri.

Aku pernah berhadapan dengan situasi yang sama. Aku pernah dituduh komunis semata-mata kerana aku menulis kisah tentang Mat Indera dalam sebuah buku tokoh terbitan organisasi tempat aku bekerja. Tulisanku itu berdasarkan kajian bahan-bahan bercetak dan temu bual serta pemerhatian dan perbandingan. Penasihat penerbitan tersebut, Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid setuju rencana itu diterbitkan bagi menggalakkan orang ramai berfikir, di samping untuk dijadikan asas bagi kajian selanjutnya.

Bukan sebarangan orang yang membuat tuduhan itu. Antara mereka termasuk dua orang yang membuatkan aku bukan tergelak, tetapi sedih sesedih-sedihnya kerana mereka orang yang berilmu dan berkuasa. Seorang yang menuduh itu ialah seorang profesor sejarah, dan seorang lagi ialah senator dengan Ph.D luar negara.

Ramai teman yang membaca tulisanku itu mengucapkan tahniah, kerana menurut mereka, aku melihat kisah Mat Indera dari satu perspektif yang berbeza. Tetapi bagi mereka yang tidak membaca rencanaku mengatakan aku mengagung-agungkan komunis dan menyanjung perjuangannya. Masya-Allah. Tidak ada satu perkataan pun yang dalam tulisanku itu merujuk sebagai mengagungkan komunis, sebaliknya kutukan terhadap komunis yang aku buat. Tulisanku itu sebenarnya mengutuk komunis.

Kebetulan aku bertemu dengan orang yang hebat menghentam aku – seorang profesor sejarah. Aku tanya dia, “Profesor dah baca ke tulisan saya tu?”

“Dah!” jawabnya ringkas.

“Cuba tunjukkan bahagian mana dalam tulisan tu yang saya ni komunis?

Dia jadi teragak-agak dan cuba mengelak. Sebaliknya, dia dengan penuh emosi menceritakan betapa kejamnya Parti Komunis Malaysia membunuh orang dan merosakkan harta benda rakyat. Dan aku akur. “Bapa saya seorang polis pada zaman darurat,” dia bercerita hal lain yang tidak ada kaitan dengan persoalan pokok yang kami bincangkan. Dalam hatiku, kenyataan yang mengatakan bahawa bapanya seorang polis itu adakah satu kajian ilmiah? Atau dorongan emosi?

Aku tanya dia, “Adakah saya menceritakan kebaikan Parti Komunis Malaysia, Profesor? Adakah saya menyanjungi mereka? Profesor tunjukkan di mana dalam tulisan saya itu yang saya tidak mengutuk mereka?” Akhirnya dia mengaku bahawa dia sebenarnya belum pun membaca buku yang dirujuknya itu. Dia cuma membaca tajuk tulisan aku itu sahaja. Aku sungguh sedih mendengar jawapannya itu, lantas aku kini hilang penghormatanku tentang kepakarannya sebagai profesor sejarah. Aku menyimpan perasaan curiga terhadapnya. Kata hatiku, rupanya dia tidak ikhlas dalam kerjayanya. Rupanya ada udang di sebalik batu dalam segala usahanya. Maaf, mungkin ini prasangka buruk semata-mata.

Tetapi bagiku, itulah peribadi yang ada pada sebahagian pemimpin kita kini. Mereka menjatuhkan hukuman kepada sesiapa sahaja walaupun tanpa usul periksa. Sebabnya, mereka berkuasa. Memang bukan semuanya begitu, tetapi yang sedikit ini silap-silap boleh menjual negara, menggadai maruah bangsa, tetapi merekalah yang berkuasa. Berapa ramaikah lagi yang begitu?

Ingatanku: Kuasa itu amanah Allah. Kuasa bukan untuk menghukum orang lain sewenang-wenangnya. Gunakanlah kuasa itu dengan berhemah dan penuh keinsafan. Kuasa itu Allah pnjamkan kepada kamu buat sementara waktu sahaja. Peliharalah dengan sempurna. Dan Allah boleh tarik kuasa itu pada bila-bila masa dan memberikannya pula kepada orang lain.

Tetapi yang lebih penting, janganlah jatuhkan orang lain dengan memfitnah semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Sesungguhnya memfitnah lebih jahat daripada membunuh.

Aku merasa betapa kerdilnya ku. Aku insaf. Dalam keinsafan ini, aku muhasabah diri: Berapa banyakkah kuasa yang ada padaku telah aku gunakan untuk menghukum? Sejauh manakah aku sudah menghukum orang lain, termasuk anak-anakku sendiri, tanpa maklumat dan bukti yang sahih dan cukup? Moga-moga Allah ampunkan aku!

posted by ISBIHA @ 12:08 AM

Hospital oh Hospital

September 6, 2011 3 comments

Hidup kita ni sering kali diuji.
Kita ingat masa susah tu je ujian.
Tapi sebenarnya masa senang pun ujian.
Yang rezeki pun ujian.
Yang sakit, memanglah ujian.
Ada masa yang gembira datang bersekali dengan yang sedih.
Macam mana nak hadapi benda tu serentak kan.

Bulan Ogos 2010, Muhammad Nazif Khair masuk hospital.
Paru-paru dia penuh kahak.
Masa tu, dia baru enam bulan.
Masa tu, lagi 10 hari nak masuk Syawal.

13 Ogos 2011, Muhammad Nazif Khair tiba-tiba demam panas.
Dalam masa bersiap nak ke klinik, dia telah sawan.
Tentulah sebagai ibu yang tiada pengalaman ni, menjadi panik.
Tak tau apa nak buat. Terus mandikan dia.
Konon nak sejukkan badan.
Lepas tu terus masuk kereta dan bawa ke klinik.
Klinik rujukkan ke hospital.
Pergi hospital, kena tahan empat hari.

Bila tanya jururawat dan adik sendiri (yang doktor),
apa perlu saya buat sebenarnya kalau jadi macam ni, katanya:
biarkan dan bertenang.
Apa??!!
Tapi nasib baik adik saya tambah:
Tapi memanglah kita akan panik. Semua penjaga macam tu sebenarnya.
Jadi, kalau ada kawan-kawan dan pembaca nak penerangan lanjut,
mana tahu jadi macam saya, bacalah artikel kat bawah ni:
1. http://www.betterhealth.vic.gov.au/bhcv2/bhcarticles.nsf/pages/Fever_febrile_convulsions?open
2. http://drazwan.blogspot.com/2008/02/sawan-demam-dan-perawatannya.html

Masa ni, 4 + 1 (outpatient) hari duduk hospital. Hazab.

Ingatkan, yang terburuk telah berlalu.
Alhamdullillah keluar daripada hospital, Muhammad Nazif Khair bertambah setengah kilo.
Tapi rupanya, lusa tu terkena pulak keracunan makanan.
Entah apa yang dikutip, entah apa yang dimasukkan ke mulut.
Seharian Jumaat tu dia berak-berak dan muntah-muntah.
Segala apa yang dimakan semua keluar balik.
Dah petang tu, pengasuh bagitahu, dia dah terbaring je tak larat.
Malam tu, aku terus bawa dia ke hospital.
Sebab dah tahu dia terdehidrasi. Mesti kena masukkan air melalui drip.
Sebab kalau minum akan muntah, tiada cara lain.
Redha ajelah kena bermalam lagi di hospital.
Ingat sekejap, tapi Muhammad Nazif tak berhenti berak selama 48 jam.
Hmmm, tinggallah lagi di hospital. 4 malam 4 hari. Lagi hazab.
Sebab bilik kena kongsi. Hari tu bilik besar.
Lepas tu, Nazif mesti dihalang daripada makan terlalu banyak untuk kurangkan kebarangkalian
muntah. Untuk pengetahuan awam, Nazif memang suka makan. Sentiasa mengunyah.
Banyak betul ujian untuk Muhammad Nazif Khair.
Dan juga ibunya.
Dan juga ayah.
Termasuk sama abang dan kakak.
Tak lupa orang di sekeliling mereka.
Tak lama nak Syawal.
Alhamdullillah Nazif dibenarkan keluar 6 hari sebelum Syawal.
Dapatlah semua orang berhari raya dengan tenang.

Hikmahnya, Nazif dapat bermanja dan menyusu lebih lama dengan ibu selama hampir dua minggu di hospital.

Tahun depan, kita azam supaya mengelakkan mengunjungi hospital ye, keluargaku…

Categories: Domestic Life, Family, Kids
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.